Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami

August 9, 2009

Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami

Oleh NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN

KUALA LUMPUR: “Kita buka tawaran kepada pelacur. Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami. Nasib kamu (pelacur) akan jadi sangat indah (jika berpoligami).

“Jika jadi pelacur, belumpun tua, kamu sudah tiada nilai,” kata Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI), Hatijah Aam, 54.

KPI dilancarkan secara rasmi minggu lalu dengan matlamat utama ingin ‘menyuburkan’ amalan poligami di kalangan umat Islam negara ini.

Menurut Hatijah yang juga isteri kedua pengasas ajaran Al-Arqam, Ashaari Muhammad, poligami antara jalan keluar untuk golongan berkenaan kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan lebih baik.

Ketika ditemui di pejabat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, Hatijah berkata, jika sudi berpoligami dan menjadi ahli KPI, golongan pelacur akan diberi bantuan dan dipulihkan.

Menurutnya, pelacur antara sasaran KPI untuk diajak berpoligami kerana ia sebahagian usaha memperbetulkan kepincangan masyarakat dan memperjuangkan poligami yang indah serta halal.

“Kita tiada tujuan apa-apa. Kita kasihan dengan nasib masyarakat kita hari ini, semua orang boleh cerita tetapi apa jalan keluarnya,” kata Hatijah.

Beliau berkata, selain pelacur, dua lagi golongan wanita yang turut dialu-alukan menyertai KPI untuk melaksanakan poligami ialah ibu tunggal dan anak dara lewat usia.

KPI kini mempunyai 646 ahli membabitkan 222 suami dan 524 isteri. Ketika ini semua ahli kelab berkenaan adalah anggota GISB.

Menurut Hatijah, KPI turut dibuka kepada masyarakat luar dan beliau mengakui reaksi diterima sangat menggalakkan.

Begitupun, katanya, kelab berkenaan bukan boleh disertai dengan sewenang-wenangnya kerana ada syarat perlu dipatuhi.

“Syarat utama, suami perlu membawa isteri kerana kita tidak buat di belakang isteri (secara rahsia). Wanita semestinya menentang poligami.

“Sebab itu kita akan beri pemahaman berbentuk kursus dan motivasi untuk tempoh tiga bulan sebelum keputusan dibuat tanpa paksaan.

“Yang penting, mereka diberi pemahaman, nanti disiplinnya boleh diikuti dan kerana itu perlu jadi ahli dulu, perlu ikut kursus,” katanya.

Hatijah berkata, satu lagi matlamat penubuhan KPI ialah membantu suami isteri yang bermasalah, terutama dalam usaha melaksanakan poligami.

“Ramai yang ada isteri satu lagi tetapi tidak tahu jalan keluar bagaimana hendak buat isteri pertama terima. Kita beri pemahaman kepada mereka,” katanya.

Hatijah berkata, bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan selain penganiayaan, KPI mempunyai badan pengawasan dan pemantauan.

“Selama ini kami memantau ahli kami. Jika ada yang melakukan perkara tidak betul, kita tentang. Takkan kita hendak biarkan mereka buat perkara tidak betul.

“Kita turut menjaga kebajikan ahli. Contohnya, jika ada ibu kehabisan susu anak, mereka boleh pergi mendapatkannya di kedai milik GISB tanpa bayaran,” katanya sambil memaklumkan, GISB mempunyai 1,000 premis perniagaan di seluruh negara.

Menurut Hatijah, GISB tiada kaitan dengan pergerakan Al-Arqam kerana ia diharamkan dan GISB bermula dari bawah hinggalah kepada apa yang ada sekarang.

“Penubuhan KPI juga bukan bertujuan menambah ahli kami, sebaliknya membantu golongan yang kami sasarkan,” katanya yang tidak menetapkan sasaran untuk jumlah ahli KPI.

Berkaitan tanggapan negatif yang sering dikaitkan dengan poligami, Hatijah berkata, KPI mampu menangkisnya hasil kejayaan ahli GISB melaksanakan poligami, selain dirinya yang berpengalaman bermadu kira-kira 30 tahun.

“Poligami yang kami katakan ini dibuktikan di kalangan kami sendiri, termasuk ahli KPI. Banyak kebaikan sebenarnya yang ada dalam poligami, tetapi ramai yang berprasangka negatif.

“Kerana itu kami jadikan poligami di kalangan kami sebagai bukti. Penubuhan KPI pasti akan mencetuskan kontroversi besar, tetapi kami sudah bersedia dengan jawapan.

“Kami juga sanggup bersemuka dengan sesiapa saja untuk melakukan perbincangan ilmiah,” katanya yang hadir bersama madunya, Noraziah Ibrahim, 51, yang juga isteri ketiga Ashaari serta sebahagian daripada 38 anak serta kira-kira 200 cucu.

7 Responses to “Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami”

  1. askum.saya amat menyokong matlamat kelab ini kerana melihatkan masyarakat islam malaysia yg banyak terbabas pada hari ini.

    ok tk

  2. salam,

    Saya sokong sangat, dan sanggup sertai serta bantu kelab ini.Apa yang boleh saya bantu.??

    Bagaimana nak serta? Saya ada dua isteri di mana yang kedua itu saya nikahi sebagai janda.

    JANGAN SIARKAN EMAIL SAYA YA.

    Terima kasih.

  3. Assalamualaikum,

    Alhamdulillah dengan adanya KPI ini, muga-muga dapatlah membantu kawan saya seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak. Dia kematian suami hampir 12 tahun yang lalu. Bila berstatus janda muda, ramailah kaum lelaki yang ingin membela dan mengambilnya sebagai isteri kedua.
    Memelihara dan mendidik 4 orang anak yatim adalah tugas berat untuknya dan dia sedar dia amat memerlukan seorang ’suami’ yang sanggup bantu membimbing anak-anaknya ke jalan yang diredhai Allah.
    Sedih juga bila dia kenangkan satu ketika ada seorang ustaz yang berkenan untuk memperisterikannya tetapi isteri ustaz itu juga seorang ustazah, tidak mahu hidup bermadu… begitulah asam garam kehidupan. Alangkah baiknya sekiranya seorang wanita dapat berkorban untuk membantu kaum sejenisnya dengan berkongsi suami…

  4. Ingin mengetahui;
    > Adakah utk menjadi ahli kelab ini perlu dikenakan sebarang bayaran atau FOC seumur hidup
    > Adakah keahlian kita perlu re-new setiap thn

    —————————
    Drp Tazudin
    http://www.JusHebat.com/serai67
    http://www.jusakarkayu.com/
    http://www.jusabangkuat.com/

  5. sekarang tiba masanya sunnah di war2kan…agar ianya tidak dimomokkan lagi…setelah sekian lama ianya dimomokkan oleh masyarakat maka lahirlah perempuan2 simpanan…
    yang tidak diendahkan oleh sesetengah ahli agama…

    dan sepatutnya dengan penubuhan kelab ini maka hendaknya dengan bantuan allah maka akan di kembalikan kegemilangan islam akhir zaman dan sunnah2nya di amalkan…bukan di persendakan…

  6. saya dah berkahwin. mempunyai anak sorang. isteri tak boleh mengandung lagi. nak kawin lagi isteri mengamuk.

    adanya kelab ini, insyaAllah dapat membantu.

  7. saya sokong KPI dan sanggup sertai untuk bantu dalam apa sahaja, bagaimana nak sertai?

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.