Bukan mudah terima madu

August 9, 2009

Bukan mudah terima madu

Harian Metro , Ahad, 09 Ogos 2009

KUALA LUMPUR: “Bohonglah saya jika mengatakan tidak sedih apabila tahu suami mahu berkahwin lagi. Pada mulanya memang saya menangis, tapi saya tetap tabah dan kuatkan semangat.

“Saya yakin pada janji Tuhan bahawa jika kita taat dan melakukan kebaikan, ganjarannya juga baik, sama ada di dunia atau akhirat,” kata Norlia Ahmad, isteri pertama Fakhrurrazi Ashaari, 48, yang memiliki tiga isteri.

Norlia, 45, juga mengaku pada mulanya bukan mudah untuk dia menerima madu, lebih-lebih lagi wanita itu teman sepejabatnya.

“Apabila suami memaklumkan dia bakal berkahwin buat kali kedua dengan rakan sepejabat saya, saya terkejut tapi cuba menerima perkhabaran itu dengan dada yang lapang.

“Saya dan madu memang rapat di pejabat. Saya kemudian memberi sedikit penerangan berkaitan suami serta perkara berkaitannya sebagai tips kepada bakal madu,” katanya yang mempunyai sembilan anak hasil perkongsian hidup dengan Fakhrurrazi yang juga anak sulung pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad.

Bagi isteri ketiga Fakhrurrazi, Latifah Abdul Kahar, 42, semuanya bermula apabila dia bertugas di pejabat GISB di Indonesia.

“Saya tidak pernah kenal Fakhrurrazi secara peribadi, tetapi menerima jodoh itu dengan hati terbuka kerana Allah SWT dan yakin pasti ada balasan baik sebagai ganjaran daripada-Nya.

“Kini saya gembira dapat bersama dua lagi madu menguruskan rumah tangga, tugas di pejabat, anak dan semua yang ada di sekeliling kami.

“Saya dan madu kini rapat dan terasa seperti kehilangan apabila seorang daripada kami tiada di sisi,” katanya.

Sementara itu, Fakhrurrazi yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif GISB serta Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI) berkata, mustahil tiada masalah berlaku dalam hubungan suami isteri serta antara madunya.

“Pasti berlaku perkara kurang manis, tetapi kami menggunakan pendekatan dalam al-Quran dan sunnah iaitu berbincang serta memohon petunjuk daripada Allah SWT.

“Syukur semua masalah, daripada yang kecil hingga besar, mampu kami selesaikan dengan penuh berhemah, malah ia menjadi tali penguat antara saya serta isteri, selain hubungan mereka sebagai madu,” katanya yang memiliki 23 anak.

Fakhrurrazi berkata, jodoh dengan semua isterinya bukan dicari sendiri, tetapi dipilih secara peribadi oleh bapanya.

Perkara sama juga berlaku kepada adik beradiknya yang lain serta anggota GISB, malah tidak boleh berpoligami secara suka-suka kerana semua ditentukan Ashaari yang dibantu jawatankuasa pengawasan serta pemantauan.

Adik Fakhrurrazi, Mohd Nizamuddin Ashaari, 47, yang juga pengarah KPI turut beristeri empat. Beliau mempunyai 23 anak, tiga menantu dan seorang cucu.

Bagaimanapun, pergerakannya terbatas kerana berdepan masalah berkaitan jantung, kesan daripada kejadian kemalangan di Makkah pada 2002 yang turut menyebabkan ibunya meninggal dunia.

Isteri ketiga Mohd Nizamuddin, Nor Sakinah Rahmanuddin, 43, berkata dalam keadaan suami sakit, mereka bergilir-bergilir menjaganya.

“Selepas berpuluh tahun hidup bersama, kami tahu tanggungjawab kami. Bukan saja suami, anak turut dijaga bersama,” katanya.

Menurut Nor Sakinah, mereka juga sangat akrab dan menghormati antara satu sama lain.

“Saya selaku isteri ketiga tahu batasan masing-masing, begitu juga madu saya yang lain,” katanya.

Madu Nor Sakinah ialah Sukainah Hamzah, 46 (isteri pertama), Laila Ahmad, 43 (isteri kedua) dan Umaimah Abd Majid, 41 (isteri keempat).

6 Responses to “Bukan mudah terima madu”

  1. Saya berminat untuk menyertai kelab ini.Bagaimana caranya?

  2. Assalamua’laikum..
    Maaf, bukan niat saya nak menyinggung sesiapa tapi cuma satu saja yang selalu bermain di fikiran saya tentang poligami ini. Saya nak tanya pada sang suami, kenapa kahwin lagi?

  3. Respon kpd Pn Siti diatas pertanyaan .
    Kenapa kahwin lagi ..? sebelum saya nak cuba menjawab pertayaan itu …apa jawapan puan , jika saya bertanya …salahkah suami kahwin lagi …? dan berbagai soalan lagi nak saya ajukan spt berikut ;
    Kenapa suami tak boleh kahwin lagi ..?
    Bolehkah suami kahwin lagi ..?
    Apa sebab suami tak boleh kahwin lagi ….?
    dll. Mohon puan dapat menjawab soalan tersebut secara jujurnya.

  4. saya ingin tau hikmah poligami….kerana kegagalan rumahtangga saya kerana bekas suami saya ada kekasih dan bekas suami pun mahu saya terima kekasih dia sebagai madu…lagipun mereka dah seperti suami isteri selama 5 tahun bercinta..bila saya tau hubungan sulit suami saya sedih dan berlaku pergaduhan…saya keluar rumah dan bertemu kekasihnya…dan si kekasih beritahu segalanya yang nyata suami saya yang salah…tapi kini saya dah pun bercerai….tapi sampai sekarang bekas suami tidak pula berkahwin dengan kekasih dia..saya tak faham apa mahunya..tolong saya

  5. untuk join the club, sila klik link di samping kanan atas, pendaftaran ahli kelab poligami ikhwan.

    Untuk puan fifi, kami bersimpati dengan masalah yang puan hadapi, sila kirimkan nombor puan ke support.poligami@gmail.com. kami akan hubungi untuk sedikit sebanyak membantu puan menghadapi apa yang Allah telah takdirkan tersebut.

  6. dalam hidup poligami,bagaimana untuk menyelesaikan sama ada tanggungjawab n keperluan,saya merupakan isteri kedua..n suami tidak berlaku adil dalam byk pekara.n bagaimana untuk merapatkan silaturahim antara semua phak..adakah restu n redha itu perlu

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.