Biodata Penulis
UMMU SOFWAH (Ustazah Khadijah Aam) menerima pendidikan sekular dari peringkat rendah hingga ke peringkat universiti. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru selama tiga tahun di Sekolah Menengah Agama di Kubang Pasu, Kedah. Berkahwin dengan Pengerusi Eksekutif, Global Ikhwan Sdn Bhd, Abuya Haji Ashaari Muhammad, hampir 30 tahun yang lalu sebagai isteri keempat ketika itu. Beliau menerima pinangan tersebut dengan sukarela untuk hidup bermadu kerana beliau bercita-cita:
- Mendapat suami yang praktis berjuang dan membimbingnya kepada Islam dan Iman.
- Membela poligami sebagai hukum Allah yang mesti diterima dan boleh dijayakan
- Memperjuangkan Islam melalui wadah jemaah Islam yang diperjuangkan oleh suami.
Dengan bimbingan suaminya, beliau menjadi salah seorang mubalighah yang gigih dan berkesempatan bersama-sama suaminya menjelajahi beberapa buah negara di dunia demi untuk menyampaikan mesej Islam. Antara negara-negara yang pernah dilewatinya ialah Mesir, Syria, Tunisia, Maghribi, Sepanyol, Jordan, Turki, England, Perancis, Belanda, Australia, New Zealand, Pakistan, Indonesia, Thailand dan lain-lain.
Di samping itu beliau juga giat dalam bidang penulisan. Beliau menjadi penulis kepada Abuya Haji Ashaari Muhammad. Bahkan ada dua buah buku karya bersama beliau dengan suaminya itu, iaitu buku Kembara Membuktikan Kebenaran Al-Quran dan novel Selamat Tinggal Duniaku.
Buku INDAHNYA POLIGAMI ini merupakan kupasan beliau secara ilmiah dan praktis mengenai poligami setelah menempuh pengalaman tiga puluh tahun hidup bermadu. Di sebalik hukum Allah yang dianggap kontroversi ini, beliau dapat mencungkil hikmah, kasih sayang dan didikan Allah yang sangat bernilai. Dan inilah yang dipaparkan kepada pembaca. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya.