Poligami Menjana Kemakmuran Keluarga

October 7, 2009

Poligami Menjana Kemakmuran Keluarga

Apa kata ahli KPI

Oleh: Fakhrur Razi Asaari

Apabila orang bertanya berapa jumlah isteri dan anak saya, umumnya mereka terkejut dengan jawaban saya. Empat isteri dan 23 anak? Macamana nak bagi makan? Itu respon spontan yang saya rasa wajar dipertanyakan.

Kalau saya bimbang tentang nafkah keluarga ini, mungkin nak kahwin satu pun saya tak berani. Tapi saya nak cerita apa yang sebenarnya berlaku dalam keluarga saya.

1. Saya berpoligami dengan niat kerana Allah dan cita-cita nak buktikan cinta pada Allah dan Rasul. Dari kecil-kecil lagi saya dengar orang mengata poligami itu zalim, punca huru-hara keluarga, dan lain-lain lagi perkara negatif. Atas didikan ayah saya, kenyataan itu saya tak boleh terima. Takkanlah Allah buat syariat yang salah? Takkanlah Rasulullah itu suami yang zalim. Lebih-lebih lagi bila ayah saya berpoligami, saya tak nampak pun sesiapa yang dizalimi oleh sistem poligami ini.

2. Bila saya berkahwin maka saya pastikan semua isteri saya punya cita-cita yang sama dengan saya. Sebab itu saya tak pilih sendiri dan tak bercinta sebelum kahwin, sebab saya tak nak ada kepentingan nafsu selain cita-cita itu. Saya serah pilihan itu pada ayah dan dia yang buat tapisan apakah calon isteri saya bersetuju dengan syarat tersebut.

3. Apabila cita-cita sama maka cara berfikir, berperasaan dan bertindak mudah diselaraskan. Di antaranya, kami semua menerima konsep dan pelaksanaan bahwa bukan suami sahaja boleh dikongsi, tapi kasih sayang,  harta, kemakmuran, anak-anak, tanggungjawab, masalah dll itu boleh dan mesti dikongsi dalam rumahtangga kami.

4. Bila isteri-isteri dan anak-anak boleh diatur maka suami akan dapat beberapa orang yang taat setia dalam semua perkara, termasuklah dalam perniagaan. Ketika saya buat syarikat berupa kilang maka dari rumah saya sahaja sudah ada sekurang-kurangnya 4 orang pengurus yang saya percaya dan setia dengan saya. Ada pengurus: produksi, marketing, pentadbiran/kewangan, dan kebajikan. Suami menjadi pengarah syarikat yang memantau keseluruhan perjalanan syarikat itu khususnya perkara insaniah atau modal insan (human resources), penyelarasan, pengembangan dan menangani masalah-masalah yang tak dapat diselesaikan oleh pengurus, dll.

5. Anak-anak yang besar otomatik menjadi pekerja-pekerja yang taat dan bersungguh-sungguh. Kalau mereka buat salah, saya dapat menegur dan membetulkan kesalahannya tanpa perlu saya bimbang dia akan lari dari saya bekerja di tempat lain, sebab mereka tahu saya sayangkan mereka dan sebaliknya.

Saya hanya mengambil pekerja-pekerja dari luar rumah yang mana perlu sahaja, samada kerana tak cukup atau kerana perlukan kemahiran tertentu yang belum dikuasai oleh ahli keluarga sendiri. Begitupun saya layan mereka seperti anak-anak sendiri.

6. Dengan cara ini banyak penjimatan dalam syarikat. Tak perlu bayar gaji dan elaun yang mahal sebab kami boleh berkongsi rumah, kereta dan lain-lain. Kami bekerja sebagai sebuah keluarga, bukan sebagai majikan dan buruh. Keuntungan, kemakmuran dikongsi bersama. Begitu juga bila ada masalah diselesaikan bersama.

7. Walaubagaimanapun setiap orang akan mendapat habuan sesuai dengan kerajinan, kreatifiti dan kekuatan bergantung dan meminta kepada Tuhan. Perkongsian yang wajib dipersetujui oleh semua pihak adalah pada keperluan yang asas, yang semua orang memang tak boleh elak kena dapatkannya, seperti makan-minum, tempat tinggal, kenderaan, dll. Sedangkan yang bersifat keselesaan dan kemewahan adalah bergantung kepada kemampuan, peranan, tugasan dan kejayaan masing-masing dalam mendapatkan bantuan Allah dalam usahanya. Sebab itulah, saya menggalakkan ahli keluarga saya berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kemajuan. Yakin bahwa Allah pasti akan membantu hamba-hamba-Nya yang bekerja dan berjuang untuk-Nya. Maka tak hairanlah kalau ada anak saya yang memiliki kereta sendiri, begitu juga isteri-isteri saya, ada yang punya kereta dan rumah sendiri selain kereta dan rumah saya yang boleh dikongsi oleh semua.

8. Hasil dari kerjasama ini, keluarga saya dari masa ke semasa bertambah makmur. Anak-anak pula jadi pandai berdikari. Anak-anak yang sudah berumahtangga buat juga perkara yang sama dalam keluarganya. Akhirnya, kami memiliki syarikat keluarga yang makin lama makin besar dan makmur. Poligami bila dilaksanakan dengan cara Allah dan Rasul benar-benar dapat menjana kemakmuran keluarga.

2 Responses to “Poligami Menjana Kemakmuran Keluarga”

  1. Subhanallah…., saya do’akan semoga Allah subhana wa ta’ala memberi keberkahan dan kemudahan rezki kepada pak Fahrur dan keluarga. Amiin ya Rabbal alamin. Terima kasih atas artikelnya. Insya Allah saya juga akan menjalani rumah rangga dengan konsep poligami. Doakan ya pak…..

  2. Saya ingin mendapat pandangan dan nasihat daripada ustaz. Situasi yang saya hadapi sekarang adalah seperti berikut:

    Saya sudahpun berkahwin dalam 6 tahun yang lepas dan dikurniakan dengan 2 orang anak. Rumahtangga kami bahagia. Saya sayangkan isteri dan anak-anak saya sekarang.

    Cuma, yang jadi dilema pada saya sekarang ialah kerana tanpa disangka-sangka, perasaan cinta dan kasih-sayang saya kepada isteri saya sekarang seolah-olah terpaksa saya duakan kerana saya juga menyayangi seorang wanita lain yang sekarang ini menjadi ibu tunggal. Walaupun mungkin permulaan hanya lebih kepada ‘kasihan’, tetapi saya membohongi diri saya kalau saya nyatakan saya tidak ‘kasihkan’ ibu tunggal tersebut.

    Saya mengakui bahawa dari segi kewangan, saya tak mampu untuk berkahwin dua. Isteri seorang dan dua orang anak saya sekarang pun hanya cukup makan dan pakai sahaja. Tetapi ‘bakal isteri kedua’ saya mempunyai pekerjaan yang agak stabil dan sebenarnya jika kami berkahwin, kewangan saya rasanya akan lebih stabil bukan sahaja ibu tunggal tersebut tidak kacau kewangan saya dan tidak menjejaskan kewangan saya dengan isteri saya sekarang ini, bahkan dia juga boleh sedikit sebanyak menampung mana-mana yang kurang dari segi kewangan.

    Cumanya, dia (ibu tunggal tadi) perlukan kasih sayang daripada seorang suami dan bapa kepada anak-anaknya. Dia menghidap penyakit kanser payu dara dan anak-anaknya juga perlukan bimbingan dan kasih sayang daripada seorang ayah. Soal rumahtangganya dengan bekas suaminya rasanya tidaklah relevan untuk saya ceritakan, tetapi kalau ustaz rasakan perlu boleh ustaz tanyakan & nanti akan saya ceritakan setakat yang saya tahu.

    Dilema saya sekarang ialah, macamana saya nak berterus-terang dengan isteri kesayangan saya sekarang. Saya tak mahu kehilanggannya tapi dalam masa yang sama saya juga tak mahu kehilangan ‘bakal isteri kedua’ saya kerana perasaan cinta sudah ada sekarang.

    Saya takut kalau-kalau isteri saya sekarang mencabar saya untuk melepaskannya kerana tidak mahu dimadu. Saya juga takut saya dikatakan tidak mampu berpoligami (sebab secara kewangannya, memang saya tak mampu).

    SAya tak tahu apa nak buat sekarang. Boleh ustaz tolong saya mengatasi kemelut cinta, hati & perasaan saya sekarang.

    Terima kasih Ustaz.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.